Posted on: 22 July 2022 Posted by: redaksi toknyong Comments: 0


Oleh Wan Eddy Wan Izaz


Gagasan untuk mendirikan Syarikat Ahmadi & Co dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut.

Keadaan politik yang tidak stabil di Kerajaan Riau Lingga membuat Raja Haji Ahmad menghadap Yang di-Pertuan Besar Riau Lingga Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah. Kata Raja Haji Ahmad kepada Sultan: “…..Pada pandangan patik di belakang hari kaum kita akan disingkirkan Belanda. Kita akan papa kedana, Akibat papa kedana kaum kita boleh menukar agama daripada Islam kepada agama Serani. Patik mohon keizinan Paduka untuk membangun satu syarikat perniagaan.”

Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah bertitah “Bagaimana yang elok menurut engkau perbuatlah. Aku sangat sangatlah bersetuju…..”

Atas perkenan dan keizinan Sultan maka Raja Haji Ahmad mulai mengumpulkan para kerabat dan intelektual kerajaan Riau Lingga bermusyawarah. Di antaranya ialah Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Raja Haji Idris bin Tengku Endut, Raja Haji Ja’afar bin Tengku Endut dan Raja Haji Muhammad bin Raja Ali. Dari situ mereka bersepakat untuk mendirikan sebuah syarikat perniagaan untuk mempertinggikan imej orang Melayu Islam terutama kerabat mereka. Sebagai langkah awal mereka membuka tanah perkebunan.
Oleh sebab tanah-tanah di sekitar Pulau Bintan kurang subur untuk perkebunan, selain tanah-tanah itu telah dikuasai oleh tauke-tauke bangsa Cina, Raja Haji Ahmad terpaksa mengarahkan tumpuan ke pulau-pulau yang masih kosong. Pulau-pulau tersebut ialah di kawasan Tukong Pulau Tujuh. Dengan sebuah perahu layar dia menuju ke Pulau Midai kerana di sana telah ada wakil sultan sejak tahun 1302 H/1883 M. Kebetulan pula wakil itu adalah saudara kandungnya, iaitu Raja Haji Ilyas bin Tengku Endut.

Dari Pulau Midai yang kecil terpencil di Laut Cina Selatan itu bermulalah segala kegiatan Syarkah Ahmadi Midai.

Pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 M dimulai membuka kedai di Pulau Midai, dengan kebijaksanaan Raja Haji Ahmad dan anak saudaranya, Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Tengku Nong, Ahmadi & Co. Midai mengalami kemajuan yang pesat dan tidak dapat dipermainkan oleh peniaga-peniaga Cina di Singapura. Raja Haji Ahmad dan Raja Ali memang diakui sebagai tokoh Riau yang sangat teliti dalam bidang pentadbiran.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.